gambar diambil disiniSaya memilih buku Rahsia Bisnes Orang Cina atas dasar ingin mempelbagaikan bahan bacaan dan saya juga berminat untuk mengetahui ‘rahsia’ ini. Namun saya terpaksa akui membaca buku seperti ini mengambil masa yang lebih lama berbanding jika saya membaca novel fiksyen.
Buku ini mengandungi 32 topik. Di mukasurat awal tertulis tulisan cina dan terjemahannya dalam bahasa melayu Bekerja Keras! dimana saya kira intipati utama buku ini.
Tajuk topik pertama ialah Sejarah Bisnes Orang Cina. Ia bermula dari kedatangan orang Cina ke Asia Tenggara atas dasar untuk mencari kekayaan. Ini termasuk Malaysia dimana ketika itu pihak British telah menjalankan dasar pecah dan perintah. Kaum Melayu tinggal dikampung dan menjadi petani atau nelayan. Kaum India diestet dan kaum Cina tinggal di pekan atau Bandar. Agak menarik apabila diselitkan info atau isi penting di ruangan kecil pada setiap muka surat (saya sering mencuri baca info ini sebelum membaca muka surat tersebut). Ia mengatakan sejarah perniagaan orang Cina bermula dalam bidang peruncitan. Mereka juga sentiasa mengambil peluang, dan ini tidak dapat dinafikan kerana hampir setiap jenis perniagaan dikuasai orang Cina.
Buku ini juga menekankan aspek aspek positif yang dimiliki orang Cina seperti bekerja kuat, rajin, bermotivasi tinggi, tidak mudah berpuas hati, agresif, berani mengambil risiko, tahan lasak dan banyak lagi. Mereka menceburi bidang perniagaan bukan saja untuk membalas jasa orang tua, malah untuk meningkatkan taraf sosial di kalangan masyarakat.
Saya seringkali berfikir orang Cina sememangnya mempunyai bakat berniaga sejak azali namun buku ini telah menjawab semua persoalan. Penulis menerangkan sebelum berlakunya pnghijrahan dari Tanah Besar China, orang Cina ini terdiri dari golongan miskin dan dan bekerja sebagai petani.
Saya suka topik ketiga iaitu Falsafah Bisnes Orang CIna. Tertulis di ruangan info “berniaga boleh dijadikan sebagai hobi tetapi bukan bagi mengisi masa lapang” kerana bidang ini menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Keuntungan yang diperolehi juga tidak dibelanjakan sebaliknya dijadikan modal pusingan. Saya pernah mendengar petua yang mengatakan duit jualan mesti disimpan sekurang kurangnya sehari semalam sebelum digunakan supaya boleh beranak pinak (ketika pertama kali mendengar petua ini saya berfikir entah ya entah tidak petua ini). Ya, disinilah rasionalnya petua ini, untuk mengelakkan peniaga menghabiskan keuntungan pada hari yang sama.
Saya juga tahu orang Cina yang berniaga mempunyai sumber kewangan lain bagi memastikan perniagaan ini dapat berjalan lancar. Buktinya, terdapat sebuah kedai menjual barangan bayi di hadapan rumah saya yang jarang sekali dikunjungi pelanggan. Dan saya sering berfikir kedai ini terpaksa gulung tikar suatu hari nanti kerana orang kampung manalah memerlukan kedai barangan bayi? Cukup sekadar pasar mini untuk mendapatkan botol susu atau pakaian yang tentunya tidak berjenama. Namun sehingga hari ini kedai ini masih beroperasi malah mempelbagaikan perniagaan dengan mebuka pusat jagaan bayi di taman perumahan berdekatan.
Selain itu juga, orang Cina mempunyai jaringan niaga mereka yang tersendiri. Secara formal seperti persatuan suku kaum dan juga tidak formal. Saya pernah diberitahu, kedai orang Melayu menjual dengan sedikit mahal kerana pembekal (orang Cina tentunya) menjual dengan harga yang mahal kepada mereka. Situasi ini menyebabkan kedai orang Cina menawarkan harga yang lebih murah kepada pelanggan. Entah benar entah tidak, namun lojik jika di fikirkan.
Topik 12 membincangkan Petua Bines Orang Cina. Ia menceritakan faktor kekuatan ‘public relation’ dikalangan orang Cina. Tidak dapat dinafikan sama sekali kerana ramai telah mempunyai pengalaman yang tidak begitu manis ketika berurusan dengan peniaga Melayu. Entah dimana silapnya, peniaga Melayu kelihatan seolah olah tidak begitu menghargai pelanggan.
Saya agak puas membaca walaupun terdapat ayat yang diulang ulang seperti orang Cina dapat berniaga dimana sahaja hatta di Papua New Guinea, orang Cina bekerja keras dan bersungguh sungguh dan orang Cina mementingkan kejujuran. Sedikit mengganggu namun tidak menjejaskan keseluruhan pembacaan.

